TIPS PERSEDIAAN MENGERJAKAN HAJI

3 JENIS PERSEDIAAN:

1) Persediaan mental
2) Persediaan fizikal
3) Persediaan spiritual

Kelebihan haji Mabrur

1) Persediaan Mental

Jemaah haji yang pernah melakukan umrah sedikit sebanyak sudah ada pengalaman tawaf, saie dan ibadah solat di masjidil haram. Walaubagaimana pun, ibadah haji melibatkan wukuf di Arafah, bermabit di Mudzaliffah, dan bermalam di Mina, beserta ibadah melontar di Jamrah. 3 ibadah kemuncak ini yang memerlukan kesabaran yang tinggi dan mental yang kuat .

Secara amnya, seseorang harus menjaga fokus dan minda untuk ibadah, dan tidak melihat kepada isu yang remeh temeh seperti ketidak selesaan yang bakal dilalui sewaktu berada di Arafah, Mudazalifah dan Mina. Sewaktu anda mendapat surat jemputan mengerjakan haji lagi, bermula dari situ minda anda mestilah difokuskan kepada perkara-perkara yang utama yang membantu anda mendapat haji yang mabrur. Usah difikir akan makanan yang tidak sedap, khemah yang tidak selesa atau rakan sebilik yang bagaimana yang akan anda dapat. Bersangka baik dari awal sehinggal akhir, dan anda akan mendapat yang baik-baik sahaja. Minda kita umpama magnet, jika buruk yang selalu difikirkan, kemungkinan yang buruklah yang datang kepda kita. Kepada jemaah yang tidak sihat atau sakit, jangan berputus asa, kekalkan minda positif, Insya Allah anda akan dapat melaksanakan ibadah haji dengan terbaik sekali.


2) Persediaan Fizikal

Di sini saya akan menyentuh secara khusus akan isu berkaitan kesihatan dan bukan kelengkapan lain seperti pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.

Ramai di antara jemaah haji terdiri dari warga emas, ada yang sihat tetapi usia tua dan lemah, ada juga yang sakit dan perlu bantuan.

Setiap dari anda mestilah ambil tahu akan penyakit yang anda hidapi sebelum ke Tanah Suci lagi. Pada anak-anak yang menemani ibu bapa tua yang sakit, anda juga perlu tahu setiap masalah kesihatan yang ibu bapa anda ada dan ubat-ubatan mereka. Pastikan penyakit yang dihadapi mendapat rawatan optimum sebelum berangkat ke tanah suci. Samada Diabetes, Hypertensi, Osteoarthritis, Asma, Penyakit Jantung  atau apa pun, keadaan pesakit perlulah stabil sebelum tarikh berangkat ke tanah haram. 
Berpenyakit bukan halangan kepada ibadah tetapi penyakit yang tidak diuruskan dan di luar kawalan boleh menghalang anda dari beribadah.

*Tulis nama-nama penyakit dan ubat-ubatan beserta dosnya, dan letakkan di dalam satu bekas.
* Bawa buku kecil rekod kesihatan bersama ke mana-mana.
*Pastikan imunisasi lengkap, yang wajib dan untuk yang berpenyakit sangat disyorkan ambil suntikan pilihan lain.
*Bawa bersama bekalan ubat-ubatan yang 'simple' seperti ubat demam, selsema, sakit perut, penahan sakit atau sakit kepala.

Pihak tabung haji ada menyediakan klinik kesihatan dan ada ramai doktor bertugas sepanjang musim haji.

Imunisasi Wajib:

Meningococcal Quadrivalent (ACWY-135)- membantu mencegah dari meningitis.

-boleh dapatkan secara percuma di klinik-klinik kerajaan

Imunisasi Pilihan:

Influenza - disyorkan kepada mereka yang ada penyakit diabetes, asma, buah pinggang, lemah immuniti, masalah paru-paru dan warga emas.

Sebaik-baiknya sebulan sebelum berangkat ke tanah suci. Immuniti badan bertahan selama setahun dari tarikh suntikan

Pnemococcus -disyorkan kepada golongan berpenyakit sama seperti diabetes, asma, buah pinggang, lemah immuniti, masalah paru-paru dan juga warga emas.

*Pastikan anda minum secukupnya memandangkan musim haji kali ini masih dalam waktu 'summer'. Cuaca panas dan kurang minum air boleh menyebabkan dehidrasi. 

*Jaga kebersihan diri. 

*Makan ubat seperti yang dijadualkan.

*Kurangkan aktiviti yang memenatkan yang menggunakan tenaga apabila menjelang hari wukuf kerana tenaga dan kesihatan yang baik diperlukan secara optimum ketika berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina.

3) Persediaan Spiritual

Bakal jemaah haji disediakan kursus haji untuk melengkapkan ilmu dan pengetahuan dari sejak mereka mendapat surat tawaran haji lagi. Banyak masjid menyediakan kelas-kelas persediaan haji yang wajar untuk bakal jemaah haji mengikuti.

Tanpa ilmu yang mencukupi, bimbang nanti jadi tidak sempurna haji kita sedangkan peluang untuk melaksanakan ibadah haji bukan senang-senang datang terutama di zaman sekarang. Dengan bilangan penduduk yang ramai dan kuota haji yang terhad, dan pertambahan kos juga memungkinkan peluang berbuat haji bertambah rumit.

Jadi kepada yang berpeluang menjadi tetamu Allah pada tahun ini, buatlah yang terbaik. Jadikanlah perjalanan haji ini perjalanan spiritual terindah dalam hidup anda. Buatlah jadual aktiviti harian untuk diikuti, bermula bangun tidur seawal jam 2 pagi sehinggalah selepas solat isya setiap hari.

Ambil peluang untuk khatam al quran sebanyak mungkin ketika berada di tanah suci kerana anda punya banyak masa untuk melakukannya. Bertadarus al quran ketika di Mina setiap hari, memperbanyakkan zikir dan selawat dan tak lupa berdoa terutama di waktu-waktu dan tempat mustajab doa.


SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH HAJI. SEMOGA ANDA SEMUA DIKURNIAKAN HAJI YANG MABRUR.


kenangan haji 2012- DR KU MASLIZA




No comments:

Post a Comment